SERDANG – Satu rekod baharu dicipta dalam Malaysia Book Of Records bagi jumlah penyertaan terbanyak melibatkan mekanik dan pelatih pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyelenggara motosikal.
Ia direkod sempena Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK) 2016 dan Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 yang sedang berlangsung secara serentak, melibatkan 592 mekanik dengan 592 motosikal yang dicatatkan pada acara yang bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Sijil Malaysia Book Of Records tersebut disampaikan wakilnya, Lee Pooi Leng kepada Pengarah Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Suimi Abd. Majid selepas selesai acara itu yang berlangsung di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Kata Suimi, kejayaan rekod itu yang disertai mekanik dan pelatih TVET membuktikan kemahiran yang dimiliki mereka mampu mengharumkan nama negara.
Paling membanggakan rata-rata peserta yang mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records tersebut adalah daripada golongan belia, yang bakal menjadi tunjang negara pada masa akan datang.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Jamal Nasir Othman.
“Ini menunjukkan kita ramainya (mempunyai) kemahiran dan perlu diramaikan lagi supaya kita dapat memajukan perkhidmatan yang ada di Malaysia ini dan dapat memajukan negara pada tahap yang dibanggakan.
“Pencapaian ini bukan semata-mata Malaysia Book Of Records tetapi kita nak buktikan bahawa kita adalah antara agensi yang mengambil serius saranan kerajaan untuk melahirkan ramai lagi pakar-pakar TVET yang terlibat dalam pembangunan belia negara kita,” katanya.
Sementara itu, Jamal Nasir berkata kejayaan yang direkodkan itu juga amat membanggakan apabila dicatatkan ketika berlangsungnya ASC 2016 yang disertai negara-negara ASEAN yang lain.
Selain rekod jumlah penyertaan teramai melibatkan mekanik dan pelatih TVET yang menyelenggara motosikal, dua lagi cubaan untuk mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records bagi pelatih TVET teramai menggunting rambut dan jahitan manik bunga raya terbesar akan dilakukan esok dan Isnin ini di lokasi yang sama.
Penganjuran karnival itu diselaraskan Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan kerjasama GIATMARA, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). – BERNAMA