KUALA LUMPUR – Ribuan pengguna perkhidmatan Light Rapid Transit (LRT) terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putra Heights terjejas bermula 7 pagi tadi.
Paling terkesan, warga kota yang menggunakan LRT untuk ke tempat kerja.
Seorang pengguna, Farhana Azmi, petugas di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata beliau keluar rumah di Pantai Dalam pada 10 pagi untuk masuk ke pejabat pukul 11 pagi dengan menggunakan perkhidmatan LRT di Stesen Kerinchi.
Kebiasaanya, beliau akan tiba pada 10.30 pagi di Stesen Ampang Park dan meneruskan perjalanan dengan menaiki teksi ke pejabat.
“Tiba di Stesen Kerinchi, saya dengar pengumuman menyatakan perkhidmatan tren menghadapi masalah teknikal dan tren bergerak perlahan. Setiap tren berhenti di setiap stesen berikutnya lebih lima minit daripada waktu biasa. Tiba di Stesen Bangsar, tren berhenti paling lama kira-kira 20 minit, sebelum penumpang diarahkan keluar berikutan tren itu telah diberhentikan,” katanya kepada Bernama.
Pengumuman yang dibuat menyebut pengguna boleh menunggu atau boleh mendapatkan kembali bayaran di kaunter.
“Saya tanya staf di situ, mereka kata tak pasti bila perkhidmatan akan disambung semula. Saya terpaksa naik teksi untuk ke pejabat dan tiba lewat hampir setengah jam di pejabat disebabkan jalan yang turut sesak,” katanya.
Farhana yang merupakan pengguna tetap pengangkutan awam turut melahirkan rasa terkilan kerana masalah sebegitu sering berlaku tetapi kali ini perkhidmatan LRT tergendala paling lama.
Beliau turut menggesa papan makluman diletakkan di setiap pintu masuk stesen untuk memaklumkan pengguna mengenai masalah yang berlaku kerana ramai pengguna yang tertanya-tanya berikutan ia hanya dibuat menerusi makluman suara.
Laman twitter rasmi @AskRapidKL menerima pelbagai maklum balas termasuk luahan rasa tidak puas hati dan terkilan pengguna sejurus selepas ia mengumumkan masalah teknikal yang berlaku, berikutan masalah LRT tergendala sering berulang.
Seorang pengguna, kimbles@kimberly_g menulis ‘You can’t delay the LRT each time it rains. RapidKL its’ probably time to step up’.
Seorang lagi pengguna, dingdong dingdong @dingdongb3ll berkata ‘finally arrived office.took me 2h20m from Jelatek to KLCC. add 20 more minutes i’ll be arriving Busan from Seoul, same duration.
Laman facebook Rapid KL turut hangat dengan soalan pengguna.
Nabihah Othman menulis “What….x settle2 lg ke? dan Rapid KL menjawab: “Maaf. Masih dalam proses baik pulih. Kami akan beri perkembangan terkini apabila perkhidmatan kembali normal. Maaf atas kesulitan”.
Seorang pengguna Kamel Alias, menulis di laman facebook RapidKL ‘I feel pity to those yang missed their flight, interview, appointment, masuk keje lambat,
kena fired dengan boss, terlepas exam, stucked in train for few hours, kena marah sampai bergaduh dengan boyfriend / girlfriend sebab lambat janji dating… KL ni tak payah kena attack terrorist, bagi hujan sikit terus chaos…
Lee Tze Shern pada kira-kira 11 pagi tadi bertanya ‘Still problem? When will be okay? dan dijawab pihak Rapid KL :”Hai. We are still rectifying the issue. Will update once the service resume back to normal. Apologize for the inconvenience caused.” – BERNAMA