KUANTAN – Seorang pesakit lelaki maut setelah dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu mangsa Liew Sun Heng, 54, dikatakan meninggal dunia ketika diberikan rawatan lanjut selepas kejadian itu di Unit Kecemasan hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata mangsa datang ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan pada Selasa lepas kerana mengalami sakit dada dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati Liew menghadapi masalah paru-paru.
“Mangsa juga merupakan penagih dadah dan peminum alkohol tegar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Aziz berkata pihak polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA