SANDAKAN – Polis Marin menahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas 9,900 biji telur penyu dalam operasi khas di perairan Sandakan selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Madun berkata tumpuan operasi ialah di kawasan Kuala Sungai Batu 2, Kuala Sungai Batu 3 hingga ke Laut Pamaguan.
Katanya 10 PATI yang ditahan terdiri tujuh lelaki dan tiga perempuan yang berusia antara 14 hingga 54 tahun.
Menurutnya operasi dijalankan bertujuan mengekang kemasukan PATI ekoran dari dasar Kerajaan Filipina yang menggunakan serangan ketenteraan ke atas Kumpulan Abu Sayyaf.
Dipercayai penduduk di kawasan terbabit akan cuba melarikan diri ke Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata turut dirampas sepanjang operasi itu adalah lima bot termasuk empat bot pam bersama enjin.
Katanya telur penyu yang dirampas bernilai RM20,500 cuba diseludup masuk untuk pasaran di daerah ini.
Beliau berkata operasi berjadual akan diteruskan bagi mengekang segala kesalahan yang dilakukan di perairan sekitar daerah ini. – BERNAMA