KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem ‘Siri Definitif Antarabangsa’ pada Sabtu ini (1 Oktober) di ibu pejabatnya bersempena Minggu Setem 2016.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata siri setem itu akan dijual di seluruh negara pada Selasa (4 Oktober), sementara bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu para pengumpul serta peminat setem boleh mendapatkannya pada Isnin (3 Oktober).
“Siri ini akan menampilkan lapan denominasi setem sebanyak 650,000 keping terdiri daripada setem Perayaan (10 sen), Buah-Buahan Tempatan (20 sen), Hidupan Liar (50 sen), Perpaduan (RM1), Tempat Ibadat (RM2), Bangsa Kita (RM5), Flora (RM10), dan Kraftangan (RM20).
“Keluaran siri setem kali ini akan memaparkan Malaysia sebagai wadah yang kaya dengan kepelbagaian budaya, flora dan fauna, kesenian serta kreativiti dan yang paling utama adalah perpaduan bangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Diyana berkata perkataan ‘Antarabangsa’ akan tertera pada siri setem tersebut dan kapal terbang kertas akan digunakan sebagai tanda pembatalan bagi siri setem itu.
Selain itu katanya produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) termasuk risalah, berharga 55 sen setiap satu dan folder dijual pada harga RM6.35, manakala set lengkap koleksi setem ‘Siri Definitif Antarabangsa’ pula dijual pada harga RM433.70.
Menurutnya, Pos Malaysia akan sentiasa mempromosi dan pada masa yang sama mendidik para pengumpul setem serta orang awam melalui koleksi siri setem yang diterbitkan serta yakin setem siri itu akan menjadi satu daripada edisi menarik untuk ditambah dalam koleksi sedia ada mereka.
Dalam pada itu, Pos Malaysia menyarankan pengumpul setem untuk mendaftar menjadi ahli komuniti Akaun Pesanan Tetap (SODA) bagi menikmati pelbagai faedah istimewa.
Orang awam yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di www.posonline.com.my, atau datang sendiri ke Pos Malaysia Bahagian Filateli di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, atau menghubungi 03-22672267 untuk sebarang pertanyaan. – BERNAMA