MADINAHÂ -Â Projek pembangunan bernilai 50 bilion riyal Saudi (RM54.8 bilion) di kota Madinah, yang dijangka bermula tahun ini, kemungkinan besar ditangguhkan sehingga tiga tahun lagi.
Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh koresponden agensi berita MediaCorp Singapura, Azlan Asri berdasarkan hasil tinjauan terhadap beberapa pengendali hotel di sekeliling Masjidil Nabawi di sini baru-baru ini.
Mereka sebelum ini menunggu notis rasmi untuk berpindah dari kawasan berkenaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan mega tersebut yang dijadualkan bermula sebaik tamat musim ibadah haji bulan ini.
Pada awal tahun lalu, pihak berkuasa Arab Saudi mula merobohkan hotel-hotel seperti Hotel Green Palace yang sederet dengan kubur terkenal Baqi’ bagi projek pembangunan semula kota Madinah dan Masjid Nabawi.
Ini mencetuskan kebimbangan banyak pihak apabila bilangan hotel terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi bakal berkurangan, sekali gus menyaksikan harga penginapan untuk hotel yang masih ada tentu naik mendadak.
Tetapi kini ada berita baik. Pihak hotel dimaklumkan bahawa notis roboh pihak berkuasa Saudi bagi baki hotel-hotel yang belum dirobohkan di Madinah, kemungkinan besar terpaksa ditangguhkan mungkin sehingga tiga tahun lagi.
Ini barang kali untuk mengelakkan kekurangan bilik hotel yang dekat dengan Masjidil Nabawi dan rombakan dasar kerajaan Arab Saudi secara drastik berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah global sejak setahun lalu.
Setakat ini kawasan selatan Masjidil Nabawi sudah pun ada hotel-hotel bertaraf lima bintang yang akan dapat menggantikan hotel-hotel biasa serta lazim menjadi pilihan popular para jemaah umrah dan haji selama ini.
Tetapi sama ada jumlah hotel di bahagian selatan Masjidil Nabawi itu mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah, masih lagi menjadi tanda tanya khasnya agensi pengurusan jemaah dari rantau Asia tenggara.
Belum dapat dipastikan sama ada langkah penundaan projek itu susulan dekri diraja pada Selasa mengisytiharkan pemotongan gaji menteri Kabinet selain sekatan bayaran kerja lebih masa dan cuti tahunan penjawat awam.
Langkah julung kali itu dilakukan berikutan usaha penjimatan bajet kerajaan Arab Saudi selain mengurangkan defisit perbelanjaaan pemerintah yang selama ini berlaku akibat banyak dihabiskan untuk projek berskala besar.
Pada umumnya, hanya selepas robohnya kesemua 26 buah hotel di kawasan utara Masjidil Nabawi itu selesai, baharulah projek perluasan masjid tersebut sendiri dapat dimulakan pihak berkuasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA