PROTON, telah memperkenalkan model terbaharu Perdana 2016 dan Persona 2016 beberapa bulan lepas.
Kini tiba masanya mereka menggerakkan satu lagi buah catur yang penting dalam usaha memulihkan kembali prestasi sebagai ‘Abang Long’ dalam industri automotif tempatan, iaitu Proton Saga 2016.
Menerusi perkongsian gambar daripada netizen di Facebook, boleh dilihat model Saga generasi ke-3 ini menampilkan rekabentuk yang moden dan menarik, seiring dengan pesaing-pesaingnya yang lain.
Blog automotif terkenal paultan.org, mengatakan Proton Saga 2016 ini tidak menggunakan platform model sebelumnya tetapi masih mengekalkan ‘DNA’ Saga, selain menampilkan peningkatan dari segi spesifikasi, reka bentuk dan perubahan dimensi yang ketara.
Keseluruhan ‘kulit’ Saga 2016 boleh dikatakan baharu sepenuhnya, di mana tiada satu komponen badan luaran pun diambil dari model sebelum ini.
Rekaan dimulakan pada bahagian muka, dengan lampu hadapan reflektor halogen sedan direka lebih elemen bulat berbanding model FLX yang bersegi.
Bahagian belakang pula, merupakan antara bahagian dengan rekaan terbaik pada model ini.
Lampu belakang ‘two-piece’ menampilkan lampu utama, brek dan isyarat membelok digabungkan dengan lampu tambahan yang menempatkan lampu undur melekat pada but.
Lampu yang kelihatan seperti lampu belakang BMW E90 ini dihubungkan menerusi kemasan berbentuk bar, merentangi but belakang.
Menurut Proton, casis Saga 2016 ini 20 peratus lebih keras dan dipertingkatkan daripada segi tindak balas stereng yang lebih efisyen, menerusi penggunaan kuasa hidraulik lebih baik.
Seperti juga Perdana dan Persona, Saga turut menerima kemasan pada bahagian bawah bampar belakang tetapi kemasan berwarna hitam pada Saga lebih ringkas, tiada lengkuk yang kelihatan seperti diffuser serta ruang untuk tip ekzos, selain menempatkan lampu kabus tunggal pada bahagian tengah.
Apa pendapat anda mengenai keluaran terbaharu Proton ini?
Apa yang pasti, pesaing Saga pastinya Perodua Bezza yang baru sahaja diperkenalkan awal bulan ini. – MYNEWSHUB.CC