“AYAH ada di hospital, tolonglah tengok-tengokkan ayah kamu, sementara ayah hidup lagi, kalau dah mati tak guna lagi nak tengok.”
Itu antara luahan sayu seorang warga emas, Abdullah Misdah Abdullah, 81, pesakit di Wad 2C, Hospital Teluk Intan yang masih mengharapkan kepulangan anak-anaknya walaupun seketika sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Abdullah yang berasal dari kampung Air Hitam, Batu 15, Jalan Bidor, mengakui terlalu merindukan ahli keluarganya terutamanya empat anak yang didakwa sudah lebih empat tahun tidak ditemui.
Pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mendakwa, semua anaknya sudah lama berhijrah dan membawa haluan masing-masing.
Memetik laporan BH Online, beliau mendakwa anak sulungnya yang dikenali dengan nama Mat Yunos berusia 63 tahun dan kali terakhir beralamat di Sabak Bernam.
Manakala anak kedua pula berusia 60 tahun, menetap di Felda Besout 4, Slim River; anak ketiga berusia 50 tahun di Felda Serting Hilir, Negeri Sembilan dan anak bongsunya berusia 40 tahun tidak diketahui lokasinya.
“Semua anak saya lelaki dan sudah empat tahun tidak beraya bersama,” katanya yang dimasukkan ke wad berkenaan dua hari lalu oleh penduduk kampung selepas mengadu sesak nafas.
Di media sosial, video luahan sayu daripada warga emas ini turut mendapat perhatian luas sehingga menyebabkan orang ramai mengecam tindakan anak-anaknya yang dikatakan tidak mengenang budi dan jasa orang tuanya.
Ramai yang menyarankan agar keempat-empat anaknya untuk pulang dan meminta maaf sebelum terlambat, dan tidak kurang juga mencemuh dengan gelaran ‘si tanggang’.
Bagaimanapun, seorang wanita yang dipecayai merupakan salah seorang cucu kepada warga emas itu, Nurul Akma, mendakwa berita yang tersebar seperti yang dilaporkan adalah tidak benar.
Menurutnya, keluarga ayahnya (salah seorang dari anak warga emas berkenaan) sering melawat dan mengunjung datuknya itu yang dikatakan menetap di rumah orang-orang tua.
Dia juga meminta agar menghentikan berita yang tersebar dan turut mengatakan yang mana datuknya itu mempunyai masalah ingatan serta nyanyuk.
Dalam pada itu, Abdullah difahamkan menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, prostat dan masalah pendengaran, serta tidak mengingati bilangan cucunya. -MYNEWSHUB.CC