Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Lebih Tunai, Kurang Kawalan:...

KUALA LUMPUR - Syarikat pelaburan induk negara, Khazanah Nasional akan mendedahkan bulan ini...

Akhbar Maya Utusan Kekal...

POPULAR... Meskipun akhbar fizikal dilaporkan terus alami kejatuhan edaran, versi digital pula adalah...

Momentum Kerjasama PAS-UMNO Di...

PERTAMA kali dalam sejarah penganjuran Muktamar Tahunan PAS, Pahang dipilih menjadi tuan rumah...

Larangan Rotan Anak Agenda...

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu juga melihat kepada aspek sosio budaya, adat dan...

Pulihkan Martabat Identiti Melayu Nusantara – Rais

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk identiti bangsa dan budaya Melayu serta kejituan Bahasa Melayu di Nusantara yang dilihat kabur kesan penjajahan kuasa asing, dipulihkan dan disuburkan kembali martabatnya.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata penjajahan, seperti Inggeris di Malaysia dan Belanda di Indonesia, telah menukar aliran sejarah dan kehidupan di negara-negara Timur Jauh.

Katanya walaupun kini negara-negara itu sudah bebas daripada penjajahan, kesan sosiobudaya daripada penjajahan itu terus wujud subur, malah jauh lebih subur daripada sosio-budaya warga tempatan sendiri.

Sehubungan itu, katanya perlunya pusat pengajian Melayu atau ‘Malay Civilisational Studies’ di serata dunia memainkan peranan dengan maju ke hadapan dan tampil berbuat sesuatu bagi memulihkan identiti bangsa Melayu itu.

“Tenaga intelek wajar menghadapi dan menawarkan beberapa asas perimbangan…tentunya dalam konteks ini kita perlu bekerjasama rapat dengan pusat-pusat pengajian Melayu Nusantara yang berselerak di seluruh dunia.

“Dari Leiden hingga ke Frankfurt; dari Museum British ke Kuala Lumpur; dari Jakarta ke Rusia dan Beijing, kita punya sarjana dan pengkaji serius tentang alam Melayu dan Nusantara,” katanya dalam ucapan perasmian pada Persidangan Dunia Melayu di London pada Isnin.

KAJIAN SOSIO-BUDAYA

Rais berkata ketika ini, para pengkaji banyak menumpukan kajian terhadap manuskrip lama, teori asal-usul bahasa Austronesia-Australasia, Melayu pra-Islam dan Melayu pasca-Islam serta pelbagai topik lain yang berkaitan kegiatan lampau.

“Namun jarang sekali kajian tertumpu kepada soal bagaimana kejituan dan taraf Bahasa Melayu serta nilai kehidupan masyarakat Melayu semasa boleh dipulihkan, sekaligus bagaimana Melayu Nusantara berupaya melonjakkan kajian sosio-budaya mereka ke tahap antarabangsa.

“Maka jaringan pusat-pusat pengajian Dunia Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dengan pusat-pusat utama di Eropah amat diperlukan demi capaian akademik yang tinggi nilai universalnya,” katanya.

Katanya Bahasa Melayu yang digunakan di Nusantara termasuklah Bahasa Indonesia selayaknya diberi pengiktirafan yang cukup tinggi dan meluas, selain melonjakkan kajian sosio-budayanya ke tahap antarabangsa.

Rais berkata dianggarkan seramai 330 juta orang, terutama di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan selatan Filipina, menggunakan Bahasa Melayu asas sebagai bahasa komunikasi.

Justeru, katanya adalah relevan untuk mempertimbangkan Bahasa Melayu sekurang-kurangnya sebagai bahasa budaya ASEAN, malah ia juga kukuh untuk diketengahkan sebagai bahasa wilayah dan bahasa antarabangsa.

“Juga kukuh untuk Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa ilmu, bahasa komersil dan bahasa komunikasi yang layak diberi pengiktirafan yang lebih tinggi dan meluas,” katanya.

Tambahnya, semua pusat pengajian Melayu atau pusat tamadun Islam yang berteraskan masyarakat Nusantara amat perlu menilai semula tahap akultrasi (kesan pengaruh meluas) budaya luaran termasuk impak media sosial yang saban hari meningkat pengaruh dan cengkamannya terhadap Islam dan masyarakat di kawasan Nusantara.

SAMA PENTING

Rais berkata apa yang berlaku kini adalah penekanan terhadap sains, matematik dan Bahasa Inggeris dengan segala rangkaian politik dan ekonominya yang sedang memuncak sehingga tampak tiada lagi ruang untuk subjek-subjek humaniti atau kemanusiaan yang dianggap penting.


“Di negara-negara maju mata pelajaran sains dan matematik digandingkan dengan pengajaran ‘the Arts’ yang di dalamnya terkandung pelbagai orientasi dan kandungan subjek.

“Pendidikan yang berimbang masih merupakan salah satu tuntutan dasar sosio-budaya, baik di Malaysia mahupun di kawasan Nusantara pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata meskipun ketiga-tiga subjek tersebut penting namun asas-asas tamadun sesuatu bangsa iaitu bahasa, sejarah, seni dan budaya tidak seharusnya dipandang sepi dan seharusnya diletak sama penting.

Selain itu, Rais berkata boleh dikatakan bahawa masyarakat Melayu kini sudah kehilangan adat dan salur-galur kehidupan mereka dalam konteks kehidupan yang beradab dan berbudi.

“Hal ini tidak lagi diajarkan di sekolah dan tidak juga dilatih di pusat-pusat latihan umum… pemuliharaan dalam hal ini amat perlu. Kita sudah terpelanting begitu jauh dari budaya Melayu sebenar,” katanya.

KEKAL SENI BINA MELAYU

Rais turut menyentuh hal-hal berkaitan dengan seni bina dan warisan yang mana di barat, seni bina dan warisan lama diberikan nafas pemeliharaan agar ia menjadi lambang kepada sesebuah tamadun itu sendiri.

Beliau berkata adalah mengecewakan apabila seni bina bangunan-bangunan di dalam negara juga tidak menitikberatkan ciri-ciri dan identiti Melayu.

Maka, beliau mengesyorkan pusat-pusat pengajian Melayu supaya bersama memberi dorongan atau galakan dari segi khidmat nasihat tentang sejarah seni bina tersebut supaya identiti melalui seni bina tersebut dapat di pelihara dan dijaga dengan lebih serius.

“Promosi Little India di Brickfields dan Jalan Petaling sebagai Chinatown harus jadi teladan bagi anak bangsa terus menampilkan ciri-ciri keMelayuan dalam binaan bangunan serta perpekanan. Setakat ini persatuan arkitek serta fakulti seni bina kita agak menyepi dalam hal menentukan identiti bangunan dan perumahan awam,” katanya.

Persidangan dua hari bermula Isnin itu adalah anjuran School of Oriental and African Studies (SOAS) Universiti London, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ia mengumpulkan para sarjana dan intelek Melayu untuk mereka bertukar pendapat dan menyampaikan hasil penyelidikan dan pemikiran mereka berdasarkan hipotesis atau teori baru dalam dunia pengajian Melayu.

Persidangan itu menarik perhatian banyak pihak seperti dari negara ASEAN seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina, selain Jerman, England, Belanda dan Itali.

Ia juga sebagai salah satu platfom untuk para pemikir membentangkan kertas kerja mereka yang mana ia akan dijadikan landasan untuk mereka menyumbang idea ke arah penambahbaikan kepada struktur dan silibus pengajian Melayu.

“Apa yang saya harapkan adalah beberapa saranan daripada persidangan ini dapat dibawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja Melayu untuk dijadikan panduan dan diguna pakai, begitu juga kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya dapat memartabatkan kembali penggunaan tulisan jawi dan Bahasa Melayu di negara kita,” kata Rais. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori