KUALA LUMPUR – Mana-mana rakyat Malaysia yang meminta kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal negara bukanlah patriot, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata mereka sebenarnya telah mengkhianati rakyat negara ini.
“Dengan meminta-minta orang luar untuk menggulingkan mandat rakyat bukanlah tindakan seorang patriot,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Ke-9 Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini, hari ini.
Najib berkata tanpa campur tangan bersama adalah konsep yang amat penting yang menerima sokongan banyak badan antarabangsa seperti ICAPP.
“Kita ingat tentang perjuangan kita bagi menentukan nasib sendiri dan kita mestilah sentiasa berjuang untuk melindungi kedaulatan rakyat yang kita wakili – seperti mana yang telah UMNO lakukan sejak awal lagi, dan akan terus berbuat demikian,” tegasnya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata parti itu, yang menyambut ulang tahun ke-70 baru-baru ini, adalah satu daripada parti politik paling berjaya di dunia dan secara konsistennya menerima mandat daripada rakyat.
Beliau berkata UMNO juga berdepan dengan pembangkang yang kadang kala dapat menerajui Dewan Undangan Negeri – yang mencerminkan demokrasi sebenar.
Namun di peringkat nasional, katanya, UMNO sentiasa diberi mandat bagi membolehkannya memimpin negara dan ini dapat dilakukan kerana pelbagai sebab.
“Kami adalah parti Melayu tetapi kami sentiasa menghulurkan tangan bagi menjalin persahabatan dengan semua rakyat Malaysia kerana tumpuan kami adalah untuk semua rakyat negara ini,” kata Najib.
Perdana menteri berkata Barisan Nasional (BN), dengan UMNO merupakan tulang belakangnya, sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan mendengar kebimbangan mereka dan memahami keperluan pembangunan mereka.
“Sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian, kami sedar bahawa keharmonian adalah amat berharga, dan untuk itu, kami sentiasa mengamalkan kesederhanaan.
“Dan sebagai negara demokrasi, kami menghargai keputusan peti undi – bukannya pandangan individu, walaupun terkenal – kerana hanya ekspresi sah rakyat yang menentukannya,” kata Najib.
Dalam ucapannya itu, perdana menteri bercakap panjang lebar mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh Asia seperti kemiskinan, keganasan dan keselamatan serta pencemaran alam sekitar.
“Untuk kekal relevan kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan – dan semestinya semua parti politik – bukan sahaja untuk memelihara prinsip-prinsip demokrasi malah membantu mengekalkan kestabilan ekonomi dan keselamatan rakyat mereka,” kata beliau.
Mengenai kumpulan militan Daesh yang kejam, Najib berkata semua pihak terutamanya parti-parti politik dari negara-negara Islam, perlu mengeluarkan mesej menyeluruh secara kuat dan jelas bahawa tiada apa yang Islam tentang keganasan dan kemusnahan yang sengaja dilakukan kumpulan militan itu.
Malaysia, katanya, telah mengambil langkah bagi meningkatkan keupayaannya menangani keganasan menerusi undang-undang baharu termasuk Akta Pencegahan Keganasan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) dan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Najib menegaskan tiada satu pun perbuatan ganas itu dibenarkan berlaku bagi menyekat kebebasan awam.
“Namun, kebebasan awam tidak bermakna lagi bagi mereka yang nyawanya dirampas oleh bom dan senjata api. Oleh itu, kerajaan saya tidak akan memohon maaf kerana mengutamakan keselamatan semua rakyat Malaysia mengatasi semua yang lain,” kata beliau.
Malaysia, katanya, bersedia berkongsi kepakarannya dalam mencegah radikalisasi dan membantu melaksanakan deradikalisasi terhadap lelaki dan wanita yang terperangkap dalam pembohongan ekstremis jahat dan tidak bercirikan Islam.
Najib juga berkata kerjasama erat dalam kalangan negara-negara jiran diperlukan bagi menangani masalah seperti jerebu dan ancaman penyakit berjangkit seperti virus Zika.
“Kami kini dilanda Zika dan Singapura telahpun mengalaminya, dan rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti virus ini telah pun dikesan,” katanya.
Mengenai kemiskinan, perdana menteri berkata adalah penting pertumbuhan ekonomi dikongsi bersama bagi membolehkan sesebuah negara terus bersatu padu.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang memerintah untuk membina masa depan bagi setiap rakyatnya. Tiada lelaki, wanita atau kanak-kanak yang harus ketinggalan,” katanya.
Lebih 72 parti politik dari 36 negara Asia mengambil bahagian dalam persidangan tiga hari itu yang bermula semalam, bagi menggalakkan pertukaran dan kerjasama dalam menangani cabaran dan peluang serantau. – BERNAMA