KECOH di media sosial berikutan status yang dimuat naik oleh pelakon Abby Abadi yang dikhabarkan menyindir tindakan seorang tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) beberapa hari lalu.
Rata-rata netizen sebulat suara berpendapat teguran itu ditujukan ‘khas’ buat ratu dangdut tanah air iaitu Mas Idayu.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal oleh Abby melalui satu posting yang dimuat naik di laman Facebooknya Real Abby Abadi ditujukan secara umum dan tidak berniat untuk menyinggung mana-mana rakan artis.
Susulan ‘ceramah’ yang viral di laman sosial itu, penyanyi Mas Idayu turut memuat naik status di Instagram miliknya seolah-olah membalas balik teguran yang dikeluarkan oleh bekas anggota kumpulan Elite itu.
Menurut kapsyen itu, Mas Idayu menyelar Abby hanya ingin tumpang populariti yang dimilikinya.
Dalam pada itu, Mas Idayu juga menitipkan ‘nasihat’ buat Abby supaya tidak menonton program-program yang dirasakan penuh dengan kemaksiatan.
Diharapkan semoga pertelingkahan ini dapat diselesaikan dengan baik dan hubungan antara dua selebriti ini jernih seperti sedia kala. – MYNEWSHUB.CC