SEORANG remaja perempuan Arab Saudi yang menetap di Jerman mencadangkan emoji bertudung kepada The Unicode Consortium, sebuah syarikat menilai dan membangunkan emoji baharu.
The Independent melaporkan, Rayouf Alhumedhi mendapat idea tersebut selepas berbual dengan rakannya melalui aplikasi WhatsApp.
Remaja berusia 15 tahun itu menyedari tiada emoji yang mewakilinya sebagai seorang wanita bertudung.
Dia membuat kajian dan mendapati sesiapa sahaja boleh menghantar reka bentuk emoji kepada Unicode. Idea itu mendapat sokongan pengasas bersama forum perbincangan online Reddit, Alexis Ohanian.
Alhumedhi memberanikan diri untuk menghantar cadangan itu walaupun ketika ini banyak negara Eropah berbalah dengan isu bertudung.
“Pada masa kini, penampilan adalah perkara yang paling penting.
“Ramai wanita Muslim di dunia ini yang bertudung. Itu mungkin biasa. Tetapi adalah sesuatu yang berbeza sekiranya anda melihat diri anda di papan kekunci di seluruh dunia. Itu satu pengalaman yang hebat,” kata Alhumedhi.
Tertarik dengan idea itu, seorang anggota jawatankuasa kecil Unicode membalas, menawarkan untuk membantu beliau merangka cadangan rasmi.
Jika cadangan ini diluluskan, emoji rekaan Alhumedhi boleh digunakan pada 2017 nanti. – MYNEWSHUB.CC