SEORANG remaja berusia 16 tahun tidak menyangka salakan anjing peliharaanya tidak henti-henti bakal menemukannya dengan seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat.
Dalam kejadian kira-kira 10.58 pagi itu, remaja berkenaan terkejut apabila menemui seorang bayi yang baru lahir di dalam sebuah longkang berhadapan sebuah rumah di Jinjang Selatan Tambahan, Kuala Lumpur.
Remaja itu dikatakan menjumpai bayi di dalam kotak itu, kira-kira 10 meter dari rumahnya setelah curiga dengan salakan anjingnya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika ditemui bayi itu sedang menangis kelaparan dan remaja berkenaan bertindak menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan.
“Remaja itu curiga apabila anjingnya tidak berhenti menyalak, lalu keluar memeriksa tetapi tidak menemui apa-apa.
“Dia kemudian mengikut anjingnya ke longkang di hadapan rumah sebelum menemui bayi yang masih bertali pusat tanpa seurat benang dalam sebuah kotak,” katanya.
Tambah Munusamuy, pemeriksaan doktor mendapati bayi itu masih sihat dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Selayang untuk rawatan.
Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran atau talian 03-40400781 / 03-40400782 bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC