JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor hari ini menyalurkan bantuan segera RM200 bagi meringankan beban 11 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Taman Dahlia, Tampoi, di sini petang semalam.
Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata bantuan segera tersebut bukanlah yang terakhir kerana selepas ini, penilaian secara terperinci akan dilakukan bagi menilai kerosakan yang dialami, sekali gus membolehkan bantuan jangka panjang, diberikan.
“Bantuan minimum sebanyak RM500 manakala maksimum RM5,000. Ia akan diberi dalam tempoh dua minggu selepas selesai penilaian,” katanya kepada pemberita di Taman Dahlia di sini.
Semalam, Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, melalui wakilnya Datuk Abd Rashid Kasman menghulurkan bantuan RM200 kepada mangsa ribut itu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Halim Hasbullah berkata JKM dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut akan membuat anggaran kerosakan yang dialami penduduk, bagi menentukan jumlah bantuan yang diberikan kepada kesemua mangsa.
Seorang daripada mangsa, Basharudin Masbah, 37, mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan dan bercadang untuk membaiki atap rumah yang tercabut akibat kejadian itu.
Kejadian ribut kencang yang melanda kawasan itu kira-kira 4 petang semalam mengakibatkan 12 rumah didiami 42 mangsa terjejas selepas atap rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. – BERNAMA