SIBU – Sembilan orang sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Hilir di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Kesemua mangsa yang berusia enam tahun hingga 68 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Rumah berkenaan merupakan kediaman bekas Penghulu Kampung Hilir, Allahyarham Yusuf Nusi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Abdul Mutalif Jaafar berkata menurut saksi-saksi di tempat kejadian, kebakaran itu bermula dari bahagian dapur rumah kayu tersebut.
Beliau berkata sebaik sahaja menerima panggilan kebakaran pada 9.54 pagi, dua pasukan dengan kekuatan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu segera digegaskan ke lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada 10.20 pagi daripada merebak ke rumah-rumah berhampiran dan dipadamkan sepenuhnya pada 10.59 pagi.
Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. – BERNAMA