BADAN Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan fakta yang mengaitkan sabun antibakteria mampu melindungi diri dari sebarang kuman atau bakteria.
Menurut portal berita MediaCorp Singapura, FDA telah mengeluarkan kenyataan melarang sebanyak 19 bahan kimia yang kebiasaannya digunakan di dalam sabun antibakteria sama ada berbentuk cecair ataupun buku.
Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh FDA, tiada bukti bahan triclosan dan triclocarban yang terdapat di dalam sabun berkenaan mampu mencegah penyakit atau penularan bakteria.
Ia malahan memberikan kesan sampingan terhadap hormon pengguna dalam jangka masa panjang.
Hasil kajian itu disokong oleh Pengarah Urusan Pusat Penilaian dan Kajian Dadah, Janet Woodcock yang menjelaskan sabun biasa dan air lebih berkesan dan selamat digunakan untuk mencegah penularan kuman.
“Beberapa data menunjukkan bahawa bahan-bahan antibakteria mungkin lebih mendatangkan mudarat atau bahaya jika digunakan dalam jangka panjang,†katanya.
Pun begitu, larangan itu yang hanya berkuat kuasa untuk sabun antibakteria tetapi tidak termasuk produk pembersih tangan, tisu basah atau produk antibakteria yang digunakan bagi rawatan perubatan.
Pihak FDA memberi tempoh setahun kepada syarikat pengeluar untuk memberhentikan penggunaan bahan kimia terlarang dari produk mereka. – MYNEWSHUB.CC