BINTANG kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang juga kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza, Saida Tarudin mengesahkan bakal mengakhiri zaman jandanya, hujung tahun ini.
Menurut Saida, dia bakal diijabkabulkan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Apit.
Saida, 40, bagaimanapun, belum bersedia mendedahkan tarikh majlisnya itu kerana banyak perkara perlu diselesaikan.
“Betul, saya akan berkahwin tidak lama lagi cuma belum boleh maklumkan tarikh. Jika sudah ada kepastian, saya akan kongsi dengan semua.
“Bagi saya perkara baik sebegini tidak salah diuar-uarkan. Jadi doakan yang terbaik untuk saya. Saya juga berharap segala yang dirancang berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Saida akui, hubungannya dengan lelaki itu sudah terjalin hampir empat tahun namun pernah putus tiga bulan.
“Walaupun pernah berpisah, Allah SWT menyatukan kami semula. Saya menganggap dia jodoh yang sudah tertulis untuk saya,” katanya.
Terdahulu, Saida pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Ghazali Yahya Zikri. Namun perkahwinan itu tidak bertahan lama dan mereka bercerai lima tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Siti Nuruunnyssa, 19, Anas, 17, Khalid, 13, dan Siti Nurul Mashitah, 10. – MYNEWSHUB.CC