SEORANG kanak-kanak berusia 8 tahun di China diikat pada sebatang pokok selama enam tahun oleh datuk dan neneknya kerana menderita gangguan jiwa.
Menurut laman berita South China Morning Post berpusat di Hong Kong, Zhao Ziyi yang berasal dari Louyang, wilayah Henan tinggal bersama datuk dan nenek serta dua adik lelakinya.
Manakala ayahnya pula bekerja di bandar, sementara ibunya dikatakan mengalami masalah kecacatan dan kesihatan.
Difahamkan Ziyi diikat pada pokok itu sejak 2010 kerana bertindak agresif terhadap kanak-kanak dan penduduk kampungnya.
Tambah laman itu, Ziyi mula berkelakuan aneh semenjak dia mengalami demam panas. Keluarganya tidak berkemampuan untuk menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah pulih dari sakitnya, ia mulai menyerang orang.
“Dia akan menyerang kanak-kanak lain dan orang yang lebih tua.”
“Dia berbahaya untuk orang lain, jadi kami harus mengikatnya di sini,” kata datuknya.
Pihak berkuasa tempatan negara itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menolong kanak-kanak malang tersebut kerana pasangan warga emas itu satu-satunya ahli keluarga terdekat mangsa.
Namun mereka tetap membantu warga emas itu dengan memberikan alaun saraan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka. – MYNEWSHUB.CC