JIKA sebelum ini, jaguh badminton negara, Lee Chong Wei menerima hadiah sebuah unit kondomium bernilai RM1.5 juta daripada seorang pemaju hartanah setelah kejayaannya meraih pingat perak di Olimpik Rio 2016.
Hari ini,  penerjun negara, Cheong Jun Hoong pula menerima insentif yang sama apabila kerajaan negeri Perak turut menghadiahkan sebuah unit pangsapuri bernilai RM320,000 selain wang tunai RM15,000 kepada bintang sukan itu.
Pengumuman dan pemberian insentif itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Jun Hong yang meraih pingat perak di Olimpik Rio 2016 mengakui berasa terharu dengan sumbangan tersebut.
“Ia sangat istimewa. Saya tak dapat meluahkan perasaan saya dengan kata-kata.
“Kebetulan pula saya memang sedang mencari sebuah rumah, jadi hadiah ini sangat bermakna dan ia juga menjadi satu motivasi kepada saya untuk berusaha dengan lebih gigih baik dari segi sukan mahu pun bidang lain,” katanya. – MYNEWSHUB.CC