BEKAS pemenang Sukan Paralimpik 1984, Marcia Malsar menerima tepukan gemuruh daripada penonton di Stadium Maracana, Rio De Janeiro, Brazil di atas semangat yang ditonjolkan.
Malsar yang pernah menyumbang pingat emas untuk Brazil menerusi acara 200 meter telah dipertanggungjawabkan untuk membawa obor sejauh 30 meter, sebelum diserahkan kepada perenang paralimpik Brazil, Clodoaldo Silva untuk dinyalakan.
Bagaimanapun, Malsar yang berjalan menggunakan tongkat dalam hujan renyai-renyai tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh.
Namun nasib menyebelahinya apabila obor yang dipegang tidak mengenai kepalanya. Beberapa petugas acara itu dilihat bergegas membantu Malsar untuk meneruskan misinya.
Semangat kental yang ditunjukkan oleh Malsar menjadi momen yang tidak akan dilupakan pada acara pembukaan temasya Sukan Paralimpik Rio 2016 pada kali ini.
Temasya Paralimpik Rio 2016 secara rasminya dibuka pada Rabu lalu, mempertandingkan 23 jenis sukan, dengan sejumlah 528 pingat ditawarkan. Ia berlangsung sehingga 18 September ini. – MYNEWSHUB.CC