PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Mohd. Shafie, yang bertindak keluar UMNO pada 4 Julai lepas setelah digantung keanggotaannya pada 24 Jun lepas, berkata parti itu adalah parti politik berkonsepkan pelbagai kaum yang ditubuhkan pada 2013.
Tanpa menamakan parti berkenaan, bekas menteri kabinet itu mengunjungi pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini, hari ini untuk memohon proses pertukaran nama parti berkenaan dan logonya.
“Saya yakin, ia tidak akan mengambil masa yang lama sebab proses (ambil alih) lebih mudah berbanding penubuhan parti baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat RoS.
Mohd. Shafie merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum digugurkan dalam rombakan kabinet pada 29 Julai tahun lepas. – BERNAMA