PENYANYI Mawi memberitahu tidak pernah menjangkakan lagu duetnya bersama Syamsul Yusof, Kalah Dalam Menang yang menjadi runut bunyi filem Munafik kembali memberi sinar kepada kerjaya seninya.
Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 35, berkata, dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi terkenal tetapi dia menyertai program realiti Akademi Fantasia pada 2005 hanya untuk menjadi penyampai radio.
“Alhamdulillah jika ada yang menganggap duet saya bersama Syamsul telah menyerlahkah kembali kerjaya nyanyian saya. Sebenarnya ia di luar jangkaaan saya yang lagu itu akan diterima baik peminat.
“Saya tidak pernah memberikan tumpuan kepada populariti  kerana saya dahulu menyertai AF pada tahun itu kerana hanya mahu menjadi penyampai di stesen radio seperti Nana Mahzan dan Burn,” katanya.
Tambahnya kepada mStar Online, apa yang dilakukannya kini bukan kerana mahu mengejar populariti tetapi kerana dirinya memang suka berkarya. – MYNEWSHUB.CC