KUALA LUMPUR – Tiga pelajar yang ditahan kerana cuba menceroboh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak pada 20 Ogos lalu memfailkan saman ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Mohd. Fitri Asmuni mendakwa, mereka memfailkan saman kerana dihalang mendapatkan khidmat guaman dan akses kepada peguam sewaktu ditahan polis selama tiga hari.
“Mohamad Luqman Nul, Hakim Zul Razali dan Muhammad Ashraff Nazrin Noor Azman ditangkap dan ditahan reman selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar, Perak kerana disyaki menceroboh UiTM Seri Iskandar ketika mengadakan perhimpunan flashmob #TangkapMO1.
“Mereka memfailkan saman terhadap PDRM kerana menghalang hak asasi plaintif untuk mendapatkan khidmat guaman dan akses kepada peguam semasa mereka berada di dalam tempoh tahanan polis selama tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Fitri berkata, mereka yang disaman adalah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Perak Tengah, Inspektor Khoo Thean Heng, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.
Beliau yang mewakili ketiga-tiga pelajar itu berkata, tuntutan terlibat adalah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
“Faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh Writ Saman sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif yang difikirkan suai manfaat oleh mahkamah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC