SHAH ALAM – Rasanya belum pernah lagi berlaku dalam sejarah, seorang ketua kerajaan negeri termaju di Malaysia diberi gelaran hina hanya kerana enggan mengikut telunjuk sekutu politiknya.
Namun inilah ‘keunikan’ yang berlaku di Selangor, sebuah negeri berkebajikan! Jika dahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinobatkan sebagai menteri besar paling cemerlang oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali ini pengganti beliau, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digelar sebagai orang bodoh hanya kerana tegas enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dibuat lebih awal.
Ironi gelaran buruk itu bukan diberi oleh musuh politiknya, Barisan Nasional (BN) yang cuma ada 12 kerusi dalam DUN, sebaliknya daripada rakannya sendiri dalam Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Mentang-mentang DAP ada 15 kerusi, beliau dengan angkuh dakwa menteri besar berusia 52 tahun dan berasal dari Singapura itu sebagai bodoh jika enggan mengadakan PRN awal sebelum proses persempadanan dimuktamadkan.
Bagi Tony, PKR yang hanya ada 13 kerusi lepas Abdul Khalid dipecat; mesti ikut ‘arahan’ DAP sementelahan Azmin pernah menolak cadangan PRN awal di Pulau Pinang susulan kes skandal Lim Guan Eng dibawa ke mahkamah.
Justeru, Azmin wajib ‘balas budi’ dengan membuat PRN awal di Selangor susulan persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa Tony konon akan membolehkan BN menawan negeri itu balik.
Malangnya, Azmin tidak berganjak dengan pendiriannya waima sejak Isnin lalu apabila otai Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri memberi bayangan bahawa Selangor patut ada PRN awal untuk mengelak BN menang banyak kerusi.
Memang malu besar DAP apabila sudahlah buat mesyuarat tergempar pada Selasa disusuli sidang akhbar pada Rabu keesokan pula, Azmin tetap berkeras dan padahnya, Timbalan Presiden PKR itu digelar sebagai bodoh oleh Tony.
Hakikatnya, jika dinilai balik Tonylah sebenarnya bodoh kerana mengikut Akta Pilihan Raya, untuk mengadakan PRN waima Pilihan Raya Umum (PRU) pun terlebih dahulu mesti dapat perkenan Ketua Negara atau Ketua Negeri.
Dalam kes Selangor, kuasa itu terletak di bawah bidang kuasa Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berhak memberi perkenan pembubaran DUN dan tidak terikat untuk bersetuju menerima nasihat menteri besarnya semata-mata.
Baginda akan menilai segala alasan dikemukakan sebelum menandatangani watikah pembubaran dan selepas itu baharulah speker DUN memaklumkan kepada SPR yang kemudian perlu buat mesyuarat dalam tempoh 60 hari.
Ini bermakna proses PRN bukan mudah dan bayangkan Sultan Selangor enggan bubar atau jika bubar, mesyuarat khas SPR pula menetapkan tarikh pilihan raya itu selepas persempadanan semula diwartakan sebagai muktamad.
Seperkara lagi, waima diadakan PRN, Azmin sendiri sudah membayangkan Pakatan Harapan masih boleh tumbang kerana PAS bukan sekutu mereka sebagaimana berlaku di PRN Sarawak dan dua pilihan raya kecil baru-baru ini.
Ini bermakna PAS yang kini ada 13 kerusi selepas dua ADUNnya menyertai serpihan PAN, mungkin akan rampas banyak kerusi selain BN dijangka menawan 10 kerusi yang tewas dengan majoriti tipis ketika PRU pada 2013 lalu.
Berbalik kepada gelaran bodoh, kenyataan celupar Tony itu secara tidak langsung juga dianggap menghina Sultan Selangor kerana Azmin dilantik terus oleh baginda sendiri selepas menolak beberapa nama yang dicadangkan PKR.
Ternyata Tony memang biadap kerana kurang ajar dengan ‘mamanda bendahara’ Sultan Selangor dan luahan kemarahan itu turut diluahkan ramai netizen sekali gus menggambarkan hubungan DAP – PKR bermasalah teruk!
Khabarnya nama Tony menjadi trending menerusi media sosial setelah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu melabelkan Azmin sebagai bodoh sehingga menyaksikan ‘perang mulut’ antara ramai penyokong PKR dan DAP.
Ada yang berasa marah dengan Azmin kerana memang bodoh enggan ikut arahan DAP, selain tidak kurang juga mempertahankan Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu kerana masih ingat harga dirinya.
Mungkin ini lakonan terbaik sandiwara antara Azmin dan Tony bagi menguji sentimen rakyat atau cubaan alih perhatian daripada kemelut Pakatan Harapan yang tidak berkesudahan sejak Pakatan Rakyat berkubur tahun lalu.
Jangan lupa DAP kini banyak bermasalah selepas skandal banglo ‘murah’ Guan Eng membawa kepada ‘adios‘ Jeff Ooi menghina biadap Mursyidul Am PAS, allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang meninggal dunia baru-baru ini.
Barang kali, warga Selangor khasnya pengundi ‘atas pagar’ boleh menilai sendiri keperibadian pemimpin politik negeri anda khasnya Pakatan Harapan yang selama ini sering mendabik dada sebagai pilihan terbaik rakyat.
Walau apapun, ayuh kita saksikan kesudahan drama epik ‘bodoh’ antara Tony dan Azmin sebagai watak utama untuk diketahui siapakah yang sebenarnya memang layak digelar sebagai bodoh! – Mynewshub.cc/HAA