PYONGYANG – Korea Utara menghukum mati seorang Timbalan Perdana Menteri dan menghantar dua pegawai lain ke pedalaman untuk ‘pendidikan semula’, menurut laporan media Korea Selatan hari ini,
Pelbagai agensi berita asing turut melaporkan pelaksanaan hukuman mati berprofil tinggi di negara komunis terpencil itu namun alasan individu kenamaan tersebut dikenakan hukuman bunuh masih lagi kurang jelas.
“Timbalan perdana menteri yang juga mengetuai kementerian pendidikan, Kim Yong-Jin, sudah dihukum bunuh,” kata jurucakap kementerian penyatuan Korea Selatan, Jeong Joon-Hee kepada pemberita pada taklimat media di Seoul.
“Yong-Jin dibunuh oleh skuad penembak pada Julai lalu selepas didakwa sebagai antiparti dan antirevolusi,” kata seorang pegawai yang enggan didedahkan namanya di kementerian tersebut.
Menurut kementerian itu, dua pegawai kanan lain terpaksa menjalani sesi pendidikan semula. Seorang daripada mereka adalah pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal antara dua Korea, Kim Yong-Chol.
Sejak mengambil alih kuasa selepas kematian bapanya, Kim Jong-Ill pada 2011, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, dipercayai menghukum mati serta menurunkan pangkat beberapa pegawai kanan negara itu.
Tindakan tersebut disifatkan penganalisis politik sebagai satu cubaan untuk mengukuhkan cengkaman kuasanya kerana lazimnya, hukuman itu turut meliputi keseluruhan anggota keluarga individu berkenaan termasuk isteri dan anak.
Kes paling terkenal ialah membabitkan bapa saudaranya sendiri, Kim Jang Song-thaek, yang juga Duta Korea Utara ke Malaysia apabila beliau dihukum bunuh kerana didakwa belot dan rasuah pada Disember 2013. – AFP