KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara dilapor perlahan berikutan peningkatan jumlah kenderaan di beberapa kawasan setakat 7 malam ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata bagaimanapun, aliran trafik dilaporkan terkawal dari arah utara menuju ke selatan lebuh raya berkenaan.
“Trafik sesak dari Pulau Pinang menuju Permatang Pauh, Bandar Casia ke Perai, selepas Terowong Menora ke Sungai Perak, Gua Tempurung menuju ke Gopeng dan Slim River ke Sungkai.
“Kenderaan turut meningkat di Bukit Lanjan ke Sungai Buloh, sebelum Jalan Duta ke Bukit Lanjan, Kota Damansara ke Shah Alam, Shah Alam menuju ke USJ, KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ke Seafield dan UPM (Uiversiti Putra Malaysia) menuju ke Sungai Besi.
Menurutnya, trafik turut perlahan dari Bandar Bukit Mahkota ke Bandar Ainsdale, Johor Bahru ke Tol Kempas dan Singapura ke Malaysia.
“Kenderaan dijangka meningkat sehingga tengah malam ini,” katanya. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik dilapor perlahan sebelum Plaza Tol Kuala Terengganu manakala kawasan lain menghala ke pantai timur dilaporkan terkawal.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA