KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan masih perlahan setakat 5 petang ini berikutan ramai yang pulang bercuti sempena Aidiladha pada Isnin.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik perlahan di Behrang ke Slim River, Bidor ke Gopeng dan Sungai Petani menuju ke Gurun berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
“Jumlah kenderaan juga dijangka terus bertambah sehingga malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik dilapor perlahan di Plaza Tol Gombak menghala ke Lentang dan Plaza Tol Karak menuju ke arah Timur.
“Trafik juga masih perlahan sebelum keluar Plaza Tol Kuala Terengganu,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA