KUANTAN – Persatuan Sukan Permotoran (MAM) mempunyai kata putus berhubung tahap keselamatan penganjuran acara itu dan telah berbuat demikian sejak sembilan tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Razlan Razali berkata, MAM ditubuhkan pada tahun 2007 di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan matlamat membantu pembangunan sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Mengulas mengenai kemalangan maut pada Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016), Razlan berkata seramai empat pegawai MAM yang bertugas pada hari berkenaan adalah pegawai yang berpengalaman dan terlibat dengan Sepang International Circuit (SIC) sejak tahun 1999.
“Marshal yang terlibat pada perlumbaan hari itu juga diiktiraf. Sehubungan itu, dakwaan bahawa MAM tidak mempunyai kata putus berhubung aspek keselamatan adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, khususnya dalam situasi sekarang,” katanya.
Razlan berkata demikian kepada Bernama bagi mengulas dakwaan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bahawa MAM tidak mempunyai kata putus dalam aspek keselamatan, selepas berlaku kejadian dua beranak meninggal dunia pada EIMARace 2016 itu.
Pada kejadian 11.30 pagi Ahad lalu, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaika, 5 tahun, meninggal dunia kerana dirempuh sebuah go-kart yang terbabas semasa mereka menonton perlumbaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Kemalangan yang dipercayai berlaku selepas tiga kenderaan go-kart bergesel sesama sendiri turut menyebabkan isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7 tahun, cedera.
Razlan menambah sejak ditubuhkan MAM telah berhadapan dengan beberapa kemalangan termasuk kematian pelumba dari Itali Marco Simoncelli pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) di SIC pada 2011, namun ini merupakan kejadian kali pertama melibatkan penonton.
“Apabila berlaku kemalangan melibatkan penonton, penganjur perlu membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan jika terdapat aspek kecuaian. Bagi pihak MAM, kita memberikan kerjasama kepada siasatan.
“Kita menghantar semua dokumen berkaitan seperti minit mesyuarat berkaitan perlumba an dan butiran perkara yang dibangkitkan MAM seperti keselamatan dan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.
Razlan menambah isu keselamatan penonton adalah tanggungjawab penganjur dan tugas MAM adalah untuk memastikan keselamatan aspek perlumbaan seperti litar perlumbaan dan perubatan dan pemeriksaan pada pagi hari kejadian mendapati tiada orang di kawasan itu.
Beliau menjelaskan penghadang plastik atau ‘water barrier’ yang digunakan adalah untuk menghalang pemandu, bukan untuk menghalang kemasukan orang awam kerana tugas itu adalah tanggungjawab penganjur yang meletakkan anggota keselamatan di situ.
Berhubung pemilihan Jalan Sukpa di Indera Mahkota sebagai litar perlumbaan, Razlan mengakui ada kelemahan apabila penganjur kerap menukar pelan litar perlumbaan sedangkan kertas cadangan litar seharusnya dikemukakan sebulan sebelum acara berlangsung.
“MAM akan buat site visit (lawatan ke tapak perlumbaan) selepas pelan laluan litar dikemukakan, namun setiap kali kita datang, akan berlaku pertukaran… malah sehingga Jumaat pun masih ada pertukaran.
“Kita sedikit sebanyak akan membantu penganjur supaya tidak membatalkan acara, tapi hanya jika mereka boleh memuaskan hati MAM dalam aspek keselamatan. Kita tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan,” katanya. – BERNAMA