BEIJING – Pasangan pengantin dari China, Wu Jianfeng dan Jiang Xue menjadi bualan hangat di Internet gara-gara bertukar ular sawa sebagai tanda ikatan menggantikan cincin perkahwinan.
Perkahwinan unik itu bertukar ular sawa berwarna emas seberat 30 dan 15 kilogram (kg) untuk mengabdikan perkahwinan mereka.
Menurut portal People’s Daily, perkahwinan itu berlangsung di sebuah hotel di wilayah Jilin pada 16 September lalu.
Video pertukaran ular tersebut turut dimuat naik dalam laman sosial Weibo sehari selepas majlis perkahwinan itu dan menjadi bualan netizen tempatan.
Jelas pengantin lelaki, Jianfeng, dia merupakan seorang pencinta haiwan dan idea tersebut timbul sebagai kempen pemuliharaan hidupan liar.
“Saya memberikan ular sawa seberat 30 kilogram kepada isteri, Xue dan dia membalasnya dengan memberi reptilia sama seberat 15 kilogram.
“Jangan memukul atau membunuh ular sawa jika anda terserempak dengan haiwan ini,” katanya.
Difahamkan, pasangan ini menemui ular sawa berkenaan di bandar Jilin pada 2015 dan dipercayai dilepaskan atas tujuan keagamaan.
Jianfeng mengambilnya lalu memeliharanya dan menganggap ia sebagai ‘cenderahati’ untuknya dan isterinya.
Selain ular sawa, pasangan ini juga memelihara labah-labah, cicak dan burung sebagai haiwan peliharaan mereka. – MYNEWSHUB.CC