KANGAR – UMNO perlu terus menjadi parti yang mudah didekati, diyakini dan dihormati supaya rakyat terus memberi mandat kepadanya pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Katanya dalam hubungan itu anggota UMNO sewajarnya mengukuhkan barisan dalam menghadapi kemelut yang melanda parti dengan membuang perasaan hasad dengki antara satu sama lain.
“Musuh-musuh UMNO terus berusaha menjatuhkan parti kita dengan pelbagai cara termasuk bekerjasama dengan kuasa luar manakala rakyat menilai adakah UMNO mampu membela mereka.
“Jika ahli sendiri tidak bersatu, bagaimana UMNO mampu menjadi kuat untuk terus memerintah negara,” soalnya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan persidangan tersebut.
Azlan berkata anggota UMNO perlu sedar musuh-musuh parti menggunakan faktor kebersatuan untuk mempengerahui orang Melayu bagi memusnahkan kredibiliti dan kekuatan UMNO.
“Mereka mengharap cara ini akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sehingga menjadi berpuak-puak. Malangnya segelintir ahli UMNO sendiri tidak mahu bersatu dan mengikut ketuanya yang meninggalkan parti,” tambahnya.
Azlan berkata anggota-anggota yang mempunyai prinsip perjuangan seharusnya berdiri teguh dengan kepimpinan tertinggi parti.
Katanya musuh UMNO bukan sahaja mahu menjatuhkan presiden parti malah merosakkan reputasinya dengan tohmahan-tohmahan agar UMNO tidak mampu kembali berkuasa. – BERNAMA