KUALA LUMPUR – UMNO secara prinsipnya menyokong cadangan pengenalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata ia bukan perkara baharu, malah pernah diutarakan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum ke-13 dalam mewujudkan kaedah sumbangan politik yang lebih telus di negara ini.
“Jadi pada prinsipnya, kita bersetuju dan kita perlu menyokong kepada kaedah baharu yang mana kaedah ini perlu disokong oleh kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).
“Walaupun BN setuju pada masa itu, pembangkang tidak setuju dengan kaedah yang kita nak cadangkan…jadi, kita tak boleh laksanakan, tidak adil lah kalau cuma BN sahaja dikenakan peraturan baharu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini.
Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) hari ini menggariskan 32 cadangan termasuk memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.
Pengerusinya Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.
Najib berkata perincian berhubung akta berkenaan boleh dibincangkan secara mendalam antara pihak kerajaan dan pembangkang.
“Ada yang kita setuju, ada mungkin kita perlu buat pengubahsuaian, tetapi prinsip kepada perlunya kaedah pembiayaan politik yang baharu adalah disokong oleh UMNO dan BN,” katanya. – BERNAMA