KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang diusul di Dewan Rakyat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei lalu mengelirukan.
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (PAN), Wan Anwar Wan Ibrahim mendakwa, pihaknya mendapati usul tersebut tidak akan dapat memperkasakan Mahkamah Syariah seperti yang dicanang oleh PAS.
“Ia langsung tidak memberikan sebarang indikator di sudut mana Mahkamah Syariah boleh diperkasakan melalui RUU tersebut selain daripada cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Lebih mengecewakan apabila diminta oleh PAN untuk menjelaskan maksud ‘memperkasakan Mahkamah Syariah’ melalui RUU tersebut pada 6 September 2016, Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi) masih membisu dan membiarkan rakyat terus berada dalam kekeliruan,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.
Wan Anwar turut mempersoalkan apakah peranan peguam PAS yang diwakili oleh Ahli Parlimen Marang tersebut dalam Dewan Rakyat untuk menjelaskan bagaimana usul itu boleh memperkasakan Mahkamah Syariah.
Ia ekoran, dakwanya, aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah yang lebih penting adalah isu perjawatan, kapasiti, infrastruktur, tatacara siasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan hukuman atau perintah berbanding hukuman. – MYNEWSHUB.CC