SEBUAH video menunjukkan saat-saat cemas peranti rokok elektrik atau vape meletup dalam beg mewah jenama Louis Vuitton baru-baru ini menjadi viral menerusi laman sosial.
Menurut pemiliknya, Mara McInerney, insiden itu berlaku ketika dia sedang berada dalam sebuah butik di pusat membeli-belah di New Jersey, Amerika Syarikat sebelum begnya yang berharga AS$1,200 (RM5,000) itu mengeluarkan asap secara tiba-tiba.
Mara tidak mengalami sebarang kecederaan namun kejadian aneh itu telah meninggalkan trauma yang mendalam buat dirinya.
Menurutnya, nasib baik vape itu meletup ketika berada dalam tempat terbuka dan tidak boleh membayangkan sekiranya ia meletup ketika berada dalam kereta, kerana kebiasaannya dia akan meletakkan begnya di sebelah tempat duduk anaknya yang masih kecil.
Kes vape meletup bukanlah satu isu baharu sebaliknya banyak kes dilaporkan berlaku sebelum ini yang mana ia terbakar kerana bateri ion lithium yang berperanan sebanyak 95 peratus terhadap alat elektronik rokok tersebut. – MYNEWSHUB.CC