KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat laporan polis ke atas aktivis, Mohd. Ali Baharom atau Ali Tinju.
Wanita PKR mahu membuat laporan polis kerana mendakwa Ali Tinju mengancam keselamatan Pengerusi Bersih, Maria Chin.
“Wanita PKR akan buat laporan polis mengenai ancaman Ali Tinju terhadap Maria Chin Pengerusi Bersih pada 20 September ini.
“Laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor,” kata Biro Komunikasi PKR dalam satu jemputan kepada media supaya membuat liputan laporan polis berkenaan.
Media baru-baru ini melaporkan Ali Tinju memberi peringatan rancangan Maria Chin mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran akan mendapat tentangan hebat Gerakan Merah.
Malah, Ali Tinju dipetik berkata, Gerakan Merah tidak teragak-agak untuk membuat ‘senamam tonggeng’ siri kedua di hadapan rumah Maria Chin.
Maria Chin pernah menganjurkan beberapa siri demonstrasi jalanan dengan kerjasama Pakatan Harapan untuk menghasut orang ramai supaya membenci kerajaan.
Demontrasi terakhir Bersih 4.0 pada Ogos tahun lalu menyaksikan penyokong Pakatan Harapan mengadakan acara memijak-mijak gambar pemimpin dua parti terbesar Melayu.
Dua pemimpin Melayu terbabit adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Maria Chin merancang untuk mengadakan satu lagi demonstrasi lebih besar di ibu negara dalam tempoh terdekat.
Kali ini Maria Chin mendapat kerjasama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – myneshub.cc