KOTA KINABALU – Polis mengeluarkan sebanyak 139 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di sekitar bandaraya ini pada Sabtu dan awal pagi ini.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam operasi itu, polis turut menyita tiga buah motosikal dan menahan tiga individu kerana didapati positif alkohol.
“Sebanyak 35 kenderaan pelbagai jenis diperiksa secara teliti menggunakan M-Cops dan seramai 46 individu telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chandra berkata seorang individu ditahan di bawah Seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dikesan mempunyai waran tangkap trafik.
Usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan dan memandu di bawah pengaruh alkohol, katanya. – BERNAMA