ALOR GAJAH – Sebuah lori tangki LPG, sebuah lori ‘bonded’ dan sebuah kereta Perodua Myvi terlibat dalam kemalangan di KM221 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Selatan berhampiran susur keluar Simpang Ampat di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka menerusi kenyataannya berkata tiga mangsa dapat dikeluarkan daripada kereta Perodua Myvi itu dengan seorang daripadanya parah.
Sebuah jentera bomba dan sebuah lagi jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah diaraah ke tempat kejadian setelah menerima maklumat pada 12.23 tengah hari tadi.
Menurut kenyataan itu lapan anggota bomba tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dan kerja-kerja menyelamat masih dijalankan di situ.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 15km.
Difahamkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed yang dalam perjalanan untuk merasmikan program Tunas Belia Bumiputera di Ayer Keroh dekat sini turut tersekat dalam kesesakan itu.
Sementara itu, polis menerusi kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati lori ‘bonded’ dari arah utara ke selatan dipandu laju di lorong paling kiri lalu melanggar belakang lori tangki LPG itu.
Akibat pelanggaran tersebut, lori tangki LPG itu hilang kwalan dan terbalik di laluan paling kanan manakala lori ‘bonded’ yang juga hilang kawalan, melintang ke tengah jalan dan menutup laluan tengah dan paling kanan.
Pelanggaran itu juga menyebabkan lori ‘bonded’ itu menghimpit sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga orang yang datang dari arah sama.
Pemandu lori ‘bonded’ hanya cedera ringan manakala pemandu lori tangki LPG serta pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi dihantar ke Hospital Alor Gajah di sini bagi mendapatkan rawatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA