KUALA LUMPUR – Tiga buah kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tentera darat Malaysia yang hilang.
Operasi secara bersama itu dilakukan di sekitar perairan berdekatan dengan Pulau Langkawi, Kedah. Turut melakukan SAR tersebut ialah tujuh buah kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata selain itu, dua buah helikopter jenis Super Lynx dan Fennec milik TLDM turut terlibat dalam operasi tersebut.
“Dengan pertambahan aset itu, kawasan pencarian bagi operasi SAR berkenaan diperluaskan lagi,†katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ‘Maritime Warfare Asia 2016’ pada Rabu.
Dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja itu hilang selepas terjatuh ke dalam laut di Pulau Perak yang terletak di Selat Melaka ketika menjalankan tugas ketenteraan pada Isnin lalu.
Mereka masing-masing ialah Koperal Johbartlee Kanil, 32, berasal dari Kota Marudu, Sabah dan Koperal Mohd. Faizol Rosli, 29, dari Baling, Kedah yang kedua-duanya berpangkalan di kem Oran, Perlis.
Pulau Perak terletak kira-kira 157 kilometer dari George Town, Pulau Pinang atau 122 kilometer dari Kuah, Langkawi. atau 234 kilometer dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia. – Bernama/HAA