BATU PAHAT – Polis menahan semula ketiga-tiga suspek yang didakwa terlibat dalam kegiatan makmal memproses dadah dipercayai syabu di Yong Peng dan Ayer Hitam, dekat sini, 8 Okt lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata ketiga-tiga suspek ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1988 untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih berjalan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1988 kerana mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di Johor,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua mereka boleh ditahan selama 60 hari di bawah akta berkenaan.
Sebelum ini, mereka ditahan reman yang tempohnya berakhir hari ini, kata beliau.
Pada 8 Okt lepas, polis menahan tiga lelaki, yang terdiri daripada dua warga India dan seorang warga tempatan, dalam dua serbuan berbeza termasuk serbuan ke atas sebuah bangunan yang dipercayai dijadikan makmal memproses syabu di daerah ini.
Ketiga-tiga suspek, yang seorang daripadanya warga India dipercayai ahli kimia, berumur antara 32 dan 49 tahun.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 12 kilogram dadah dipercayai syabu membabitkan 5.2 kilogram berbentuk kristal dan 6.8 kilogram cecair bernilai RM550,000 yang dianggarkan boleh diagihkan kepada 60,000 penagih. – BERNAMA