SEREMBAN – Lima pelajar lelaki sebuah kolej perubatan yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Berembun di sini ditemui selamat awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata kelima-lima pelajar terbabit dijumpai sekitar 1.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada pukul 11.30 malam tadi.
“Kesesatan mereka ini berpunca akibat turun lewat selepas mendaki gunung itu semalam selain kekurangan lampu suluh. Kesemua mereka selamat dan kita berjaya membawa mereka keluar dari situ dan tiba di kaki gunung pada pukul 3 pagi tadi.
“Ketika dijumpai, kesemua mereka yang berumur 20-an dalam keadaan lemah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohammad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 malam dan tiba bersama 10 anggota 20 minit kemudian ke lokasi kejadian.
Turut sama menyertai operasi ialah Polis Diraja Malaysia, pasukan Storm, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Bomba Sukarela. – BERNAMA