KUALA LUMPUR – Skuad remaja negara akan membuka cabaran mereka menentang England di Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Bahru.
Kejohanan membabitkan barisan remaja menggunakan format liga sepusingan dari 31 Okt hingga 6 Nov itu disertai enam negara. Selain Malaysia dan England, empat negara lain yang turut serta adalah Australia, New Zealand, Pakistan dan Jepun.
Kecuali Malaysia, kesemua negara lain menggunakan kejohanan itu sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di Uttar Pradesh , India dari 8-18 Dis ini.
Persatuan Hoki Johor dalam kenyataan hari ini berkata selepas menentang England, Malaysia akan berdepan Australia (1 Nov), Pakistan (2 Nov), Jepun (4 Nov) dan New Zealand (5 Nov).
“Ini adalah kejohanan yang mencabar kerana pasukan lain sedang melakukan persiapan untuk Piala Dunia.
“Kami akan memberi tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa dan saya sudah mempunyai gambaran barisan pemain yang akan mendukung cabaran negara di kejohanan itu nanti,” kata jurulatih skuad pembangunan negara, Wallace Tan.
Ketika ini seramai 14 pemain negara yang layak beraksi untuk kejohanan itu, beraksi dalam Liga Hoki Australia bersama pasukan senior dan skuad pembangunan.
Mereka adalah Najmi Farizal Azlan, Nik Aiman Nik Rozemi dan Najib Hassan yang kini bersama pasukan senior negara.
Baki pemain lain yang bersama skuad pembangunan kendalian Wallace pula adalah Rizwan Azmi, Firdaus Omar, Lukman Nur Hakim, Nor Azmi Rahman, Syed Shafiq Syed Choulan, Amirul Aideed, Ashran Hamsani, Rafizul Ezry Mustafa, Norsyafiq Sumantri, Sufi Ismat Rohulmin dan Akhimullah Anuar.
Piala Sultan Johor adalah satu-satunya kejohanan jemputan remaja yang diadakan secara tahunan selepas dimulakan pada 2011 yang menyaksikan Malaysia muncul sebagai juara. – BERNAMA