KUALA LUMPUR – Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) akan mengedarkan minuman berperisa laici dan ‘muruku’ secara percuma kepada pengguna lebuh raya berkenaan bersempena sambutan Deepavali tahun ini.
Lekas dalam satu kenyataan media berkata, program itu diadakan dengan kerjasama syarikat pengedar minuman, Etika Sdn. Bhd. melalui jenama minuman Tropicana Twister (Tropicana).
“Laici dan ‘muruku’ percuma ini akan diberi kepada orang ramai pada 28 Oktober ini bermula pukul 3 petang hingga kehabisan stok di Kawasan Rehat & Rawat (RSA), Beranang (arah selatan),” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, program itu sebagai tanda penghargaan kepada para pengguna LEkas dan untuk bersama-sama berkongsi kegembiraan sambutan pesta cahaya.
Kata kenyataan itu, program itu juga inisiatif tanggungjawab korporat Lekas untuk menggalakkan pengguna berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan yang jauh. – MYNEWSHUB.CC