IPOH – Semua jabatan serta agensi keselamatan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan banjir akibat fenomena air pasang besar di Perak yang dijangka berlaku mulai esok hingga Jumaat depan.
Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata semua jabatan dan agensi itu telah diberi notis awal untuk memberi fokus kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi fenomena tersebut.
“Agensi ini juga diminta meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
“Kita juga akan memberi tumpuan kepada lima daerah berhampiran pesisiran pantai iaitu Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Kerian, Manjung dan Bagan Datoh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Antara jabatan serta agensi yang terlibat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dari segi logistik, beliau berkata semua peralatan adalah mencukupi, antaranya 1,000 bot daripada pelbagai agensi untuk memindahkan mangsa banjir.
Selain itu, beliau berkata pihaknya mengambil pendekatan memberi kesedaran kepada penduduk di kawasan berisiko banjir supaya membuat persediaan awal termasuk memindahkan peralatan rumah serta dokumen penting ke kawasan tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Hidrologi dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) meramalkan air pasang besar dengan ombak yang paling tinggi dijangka berlaku pada 19 Okt.
“Sekiranya angin kencang berlaku di tengah laut, ombak akan melepasi benteng dan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan penempatan,” katanya.
Tinjauan Bernama di Kampung Panchor dekat Pantai Remis, mendapati beberapa pekerja sedang menyiapkan benteng pasir bagi persediaan menghadapi air pasang
besar.
Persediaan seperti itu juga dilakukan beberapa agensi seperti APM, ATM, Jabatan Hutan, Kolej Komuniti Taiping, Majlis Perbandaran Taiping serta penduduk di Kampung Menteri dekat Kuala Sepetang. – BERNAMA