KUALA LUMPUR – AirAsia hari ini menyerahkan ganjaran penerbangan percuma kepada pemenang temasya Paralimpik ASEAN pada satu majlis gala di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia (AACE) di sini.
Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata pemenang pingat emas menerima penerbangan percuma seumur hidup manakala pemenang pingat perak dan gangsa pula masing-masing mendapat lima dan tiga penerbangan percuma.
Menurut syarikat penerbangan itu, para pemenang berkenaan diberi kad BIG AirAsia dalam emas, perak dan gangsa yang membolehkan mereka ke mana-mana 120 destinasi rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X di Asia, Australia, Asia Barat dan Afrika.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan atlet ASEAN berkenaan membanggakan rantau ini apabila berjaya membuktikan mampu bergelar pesaing hebat di persada antarabangsa.
“Saya amat berbesar hati dapat menyampaikan ganjaran penerbangan percuma ini kepada atlet lelaki serta wanita hebat ini bagi menghargai pencapaian mereka.
“Atlet ini membuktikan bahawa semangat manusiaa itu tiada sempadan dan tiada halangan untuk mencapai impian jika kita fokus, miliki keazaman serta gigih berusaha.
“Mereka menjadi inspirasi untuk rantau ini serta dunia,” katanya. – BERNAMA