PORT DICKSON – Akta Imigresen perlu dipinda bagi memperluaskan lagi skop dan tugas yang digalas Jabatan Imigresen Malaysia pada ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pindaan akta itu juga sebagai usaha memperhebatkan kolaborasi Jabatan Imigresen bersama pihak berkuasa lain antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Imigresen akan diperluaskan dengan pindaan Akta Imigresen yang mencakupi beberapa bidang lain yang selama ini tiada dalam akta itu sendiri, ini termasuk soal mencanggihkan aset yang dipunyai jabatan (kerana) ancaman dan cabaran yang dihadapi mereka makin meluas dan besar.
“Pintu masuk darat, udara dan laut yang mana lorong ‘tikus’ kini sudah menjadi lorong ‘gajah’ yang tidak mampu (ditangani) oleh Jabatan Imigresen sahaja tetapi menerusi kolaborasi dengan polis, ATM dan beberapa pihak lain.
“Ini memerlukan pindaan Akta Imigresen untuk memperluaskan kuasa mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Pada majlis itu, seramai 95 orang peserta berjaya menamatkan kursus. – BERNAMA