LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan satu bot nelayan Indonesia bersama enam awak-awak dan seorang tekong yang sedang menangkap ikan di perairan negara, di sini semalam.
Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata tangkapan itu dibuat hasil rondaan kapal Nyalau di perairan negara yang diketuai Let Kom Maritim Hasrul Ashraf Mohd Nasir.
“Kita mengesan bot dipercayai sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira pukul 2.55 petang, di kedudukan kira-kira 45 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor.
“Semasa ditahan, mereka sedang menangkap ikan menggunakan peralatan rawai dan memberi alasan bot mengalami kerosakan sehingga tidak menyedari sudah memasuki perairan negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua warga asing berusia antara 17 dan 55 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya APMM turut merampas 200 kilogram ikan yang dipercayai untuk dipasarkan di Indonesia.
Zulinda berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. – BERNAMA