SETIAPÂ pasangan suami isteri mendambakan hadirnya buah hati di antara mereka sebagai pelengkap kebahagiaan kehidupan rumah tangga yang dibina.
Begitulah yang dilalui oleh penyanyi Atilia Haron yang telah mendirikan rumah tangga pada Ogos 2014 namun masih belum dikurniakan zuriat.
Menerusi BH Online, Atilia dan suaminya, Adam Sofian Mazlan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan termasuklah mengamalkan cara perubatan tradisional Cina.
“Saya sedang berusaha termasuk mencuba cara perubatan tradisional Cina dengan meminum air rebusan akar kayu. Memang tidak tertanggung pahitnya tetapi saya kuatkan juga hati untuk meminumnya,” katanya.
Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron yang sudah mencecah usia 40an. Oleh itu, naluri untuk menjadi seorang ibu semakin menebal dalam dirinya. Apatah lagi, rakan-rakan rapatnya kini kesemuanya sudah mempunyai anak.
“Lucunya anak mereka kini menjadi teman rapat saya dan sesekali apabila tidak terikat dengan sebarang komitmen, saya akan menemani mereka keluar seperti bermain boling bersama-sama.
“Situasi itu membuatkan saya sentiasa berdoa supaya dikurniakan segera anak, apatah lagi saya memang sukakan kanak-kanak,” jelasnya.
Puteri kepada penyanyi Salamiah Hassan ini mengakui kali ini dia bersungguh-sungguh mahu mendapatkan zuriat memandangkan usia kian meningkat. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH Online