MELAKA – Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam merupakan pemangkin penting dalam meningkatkan taraf kehidupan golongan belia di negara ini.
Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata langkah kerajaan memperkasakan serta menyuntik dana dalam program MyBeautiful New Home dan rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membantu golongan belia memiliki rumah pada usia muda.
Beliau berkata rata-rata belia hari ini hanya mampu membeli rumah yang bernilai sekitar RM100,000.
“Penghapusan duti setem bagi pemilikan rumah pertama yang bernilai di bawah RM300,000 pula boleh menjadikan rumah yang ingin dimiliki semakin menjadi realiti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata penyelesaian isu Teksi dan Uber memberi peluang kepada belia menjana pendapatan melalui bidang perkhidmatan itu.
Katanya perkhidmatan tersebut popular di kalangan masyarakat terutamanya belia bagi menjana pendapatan tambahan di samping membantu mengimbangi masalah kemudahan pengangkutan awam di kalangan rakyat.
Mohd Ridhwan berkata pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 bagi pemilikan gajet elektronik serta keahlian gimnasium adalah tepat dengan gaya kehidupan belia pada masa kini.
“Pelepasan ini sudah tentu mengalakkan belia mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan memanfaatkan teknologi terkini dalam urusan harian,” katanya.
Beliau juga berkata pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pembelian alat penyusuan ibu dan bagi ibu bapa yang menghantar anak ke pusat asuhan kanak-kanak serta pra-persekolahan boleh membantu mengurangkan kos sara hidup pasangan belia yang baru membina keluarga di saat masih baru di dalam dunia pekerjaan.
Mohd Ridhwan juga berkata keputusan kerajaan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disaat situasi ekonomi global yang tidak menentu membuktikan negara ini tidak bankrap seperti yang diwar-warkan setiap tahun.
“Pelaksanaan subsidi bersasar dan sistem kutipan cukai yang sistematik telah mula menampakkan hasilnya.
“Belia yang layak menerima BR1M yang rata-ratanya berpendapatan rendah akan dapat menggunakan pemberian ini dengan sebaiknya demi kelangsungan kehidupan mereka,” katanya.
Mohd Ridhwan berkata meskipun Bajet 2017 tidak menyebut belia secara khusus namun kesannya akan dapat dirasai oleh golongan belia kerana perkara yang terlibat amat berkait rapat dengan kehidupan dan keperluan belia di negara ini. – BERNAMA