IPOH – Bekas senator Datuk Azumu Tak, 80, meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ di sini, semalam.
Anak Allahyarham, Azlan, 50, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 3.30 petang setelah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Sabtu, akibat bengkak di bahagian telinga.
“Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kepayang, Fair Park di sini kira-kira 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Azlan, Allahyarham turut mengalami komplikasi jantung, menghidap penyakit kanser hidung serta buah pinggang dan menerima rawatan di beberapa hospital termasuk di Pusat Perubatan Universiti Malaya selama setahun.
Beliau berkata walaupun keadaan kesihatan Allahyarham tidak berapa baik, namun ingatannya masih kuat dan tetap bersemangat untuk menjalani kehidupan harian.
“Allahyarham tinggal bersama isteri kedua di Tambun. Beliau berjalan menggunakan tongkat tetapi masih semangat untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara-mara dan berhasrat untuk menghadiri mesyuarat UMNO,” katanya.
Azumu yang dilahirkan di Kampung Kepayang, Fair Park di sini, pada 7 Mei 1936 adalah seorang pemimpin yang disegani dan dihormati dalam kalangan masyarakat dan anggota politik.
Allahyarham pernah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Ipoh lebih 10 tahun dan senator selama dua penggal pada era 1980-an.
Allahyarham meninggalkan tiga isteri dan lapan anak hasil perkahwinan pertama. – BERNAMA