SHAH ALAM – seramai 32 peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf telah hadir menyertai bengkel penampilan diri yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf kali ini.
Bengkel yang dianjurkan oleh majalah Mingguan Wanita dengan kerjasama Dato’ Rafiena Ezanee yang merupakan pengasas House of Dre, pengeluar produk minyak wangi dan barangan kosmetik terkenal tanahair ini telah diberikan secara percuma.
Beliau yang juga seorang usahawan dan aktres berjaya sempat berkongsi kisah inspirasi kepada ibu tunggal yang hadir. Lebih menarik lagi beliau memberi peluang kepada para peminatnya bertanyakan soalan sekaligus membuatkan dirinya lebih dekat dengan peminat.
“Saya sangat teruja berkongsi program sebegini kerana bagus untuk membantu dan memberi motivasi kepada ibu tunggal.
“Paling penting golongan ibu tunggal jangan rasa putus asa. Jangan risau saya sedia membantu untuk anda libatkan diri dalam perniagaan. Paling penting perlu ada minat dan tahu kemampuan diri untuk lakukan sesuatu,” ujarnya lagi.
Bengkel yang disampaikan oleh Perunding Imej bertauliah, Azlia Idha daripada Azlia Idha Consultancy, berjaya membuka mata golongan ini untuk lebih berkeyakinan, Peserta jua turut diberi peluang belajar cara penggayaan tudung oleh Puan Farehan atau An, penggaya tudung dari Butik Neng Geulis.
Bengkel seterusnya bakal berlangsung pada bulan November. Untuk keterangan lanjut mengenai bengkel ini, bolehlah melayari Facebook Mingguan Wanita dan majalah tersebut di pasaran. – MYNEWSHUB.CC