KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan menunggu hasil siasatan mengenai tindakan mencampak ular ke dalam kolam yang terdapat murid sekolah rendah di dalamnya sebelum memberi pertimbangan.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia memandang serius insiden itu serta mengambil maklum bahawa siasatan kes berkenaan telah pun dimulakan oleh pihak polis.
“Jabatan akan menunggu sehingga siasatan insiden tersebut selesai dan akan memberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan siasatan yang akan dikemukakan kelak,” katanya.
Dalam kejadian itu, seramai 45 murid sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar, Perak yang sedang menyertai kem bina diri dicampak ular oleh pelatih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Video insiden itu tersebar sejak beberapa hari lalu dan turut mendapat kritikan netizen yang menganggap tindakan itu boleh mendatangkan trauma kepada murid-murid tersebut.
Empat jurulatih berkenaan dan enam pembantu jurulatih telah digantung tugas serta-merta sehingga siasatan lanjut selesai. – BERNAMA